KUPTM News

Pasukan Catur KUPTM Ungguli 4 Terbaik di Kejohanan 1st UniKL-BMI Rapid Chess Open 2019

UniKL-BMI, Gombak - 31/3/2019. Pasukan KUPTM A merangkul tempat ke 4 berpasukan dalam kejohanan sulung UniKL-BMI RAPID CHESS OPEN 2019 bertempat di Dewan Gemilang, UniKL-BMI, Gombak tempoh hari. KUPTM memperoleh 12 mata daripada 7 pusingan, mengatasi pasukan UiTM Shah Alam yang menghuni tangga ke 5. Kejohanan ini menarik banyak penyertaan daripada IPT yang lain, antaranya ialah APU, USIM, UKM, UIA, MONASH, UNIRAZAK, IIUM, Taylor dan UNIKL selaku tuan rumah. 

Kategori Berpasukan: 4 Terbaik

Kategori berpasukan dimenangi oleh pasukan UITM-Chessman yang mencatat 16 mata setelah pasukan pilihan, Taylor University dikejutkan oleh KUPTM A pada pusingan ke 7 dengan skor 2-1. KUPTM A terdiri daripada Mohd Hafiz Mohd Noor, Muhammad Mubarrak Mohd Rashid dan Eizzatun Najiha Ab Halim.

3rd Best Woman: Madihah Hasanah

Kategori individu pula telah berlangsung pada hari sebelumnya yang menyaksikan pencatur wanita KUPTM, saudari Madihah Hasanah Zainuddin mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai 3rd Best Woman walaupun tidak diletakkan sebagai pilihan. Kejohanan ini turut disertai oleh pencatur bertaraf antarabangsa; GM Alexei Barsov (Rating: 2493) dari Uzbekistan selain pencatur dari Kazakhtan, Rusia, Kenya, China dan Indonesia.

KUPTM diwakili oleh ahli Kasparov Chess Club (K2C) yang dibimbing oleh Encik Abdul Jazie Mohd Akbar selaku penasihat-mentor manakala Encik Mohammad Khairuddin Majidillah bertindak sebagai pengurus. Ini adalah kejohanan pemanas badan untuk pasukan KUPTM yang akan bertanding di Kejohanan Catur Berpasukan MARA Se-Malaysia pada pertengahan April nanti.

Syabas dan Selamat Maju Jaya!